Hakikat penghayatan kalimah thoyyibah dalam fana fiz-Zat ALLah Taala
Assalaamualaikum dan salam hormat.
Fana keempat dan kemuncak fana yang dialami oleh pengamal ilmu tasauf melalui sistematika tariqat khususnya ialah fana pada Zat ALLah. Dzauk terhadap Zat ALLah mencekam kuat ke dalam bathin. Ketika ini tetaplah bathin melihat bahawa diri Zat yang Wajib Ujud yakni tiada yang maujud hanyalah ALLah Taala.
Seterusnya penulis akan memperkatakan pula hakikat penghayatan makna kalimah Laa ilaaha illaLLah pada martabat fana Zat ini. Maka sebelum itu penulis suka memperingatkan pembaca supaya menyemak kembali tulisan penulis yang pertama lagi dalam bicara tasauf ini. Setiap tulisan itu berkaitan antara satu sama lain. Maka pembaca tersilap memahami tulisan pertama lagi maka tidak mustahil akan berlaku terus kesilapan pemahaman itu.
Makna dzahir kalimah Laa ilaaha illaLLah sebagaimana yang diketahui ialah Tiada Tuhan Melainkan ALLah. Tuhan ialah zat Yang Maha Sempurna dari sesuatu yang lain dan segala sesuatu itu memerlukanNya. Salah satu sifat Yang Maha Sempurna itu ialah sifat Maha Berkuasa. Ertinya ALLah Taala itulah yang mencipta sekelian alam ini dengan sifatNya Yang Maha Berkuasa.
Seperti yang telah dijelaskan bahawa Tauhid Zat ialah keadaan seseorang itu yang fana di dalam Zat ALLah Taala dan ia kekal di dalam keadaan itu. Ertinya dalam setiap gerak dirinya dzahir dan bathin sentiasa ia fana dengan melihat bahawa tiada yang maujud melainkan ALLah Taala semata-mata. Maka disinilah letak penghayatannya terhadap kalimah thoyyibah Laa ilaaha illaLLah dalam maksud Tiada Yang Maujud melainkan ALLah. Ertinya hakikat nafinya dalam kalimah Laa itu ialah menafikan adanya hakikat ujud bagi selain dari ALLah Taala.
Namun haruslah difahami bahawa bukan ia merubah makna asal iaitu tiada Tuhan melainkan ALLah Taala tetapi ia menghayati dengan lebih mendalam. Ertinya penghayatan dari maksud zat Yang Ujud itu meliputi segala yang ujud hingga hapuslah hakikat ujud yang lain itu di dalam hakikat ujud ALLah Taala.
Penulis tidak dapat memberikan penjelasan yang lebih mendalam kerana maksud hakikat Laa ilaaha illaLLah ini pada marabat fana adalah maqam bathin. Hanya mereka yang mengalaminya sahajalah yang dapat mengetahui hakikatnya. Seperti kata ulama sufi “barang siapa yang mengalaminya, hanya dialah sahaja yang mengenalnya”.
Inilah maksud Laa ilaaha illaLLah pada maqam fana fis-Sifat iaitu “Tiada Yang Maujud melainkan ALLah Taala” yakni “Laa maujud illaLLah”.
Wassalam



Ok Syafakumala
shahil
October 31, 2009
pakcik mampir2 dong ke http://www.dzikrullah.com buat sering aza…
syfakumala
October 31, 2009