Sifat wajib bagi ALLah Taala yang ke 20: Kaunuhu Mutakalliman
Assalaamualaikum dan salam hormat
Sekarang kita masuklah pula untuk mengetahui sifat wajib bagi ALLah Taala yang kedua puluh iaitu Kaunuhu Mutakalliman. Kaunuhu Mutakalliman bererti Keadaan ALLah Taala Yang Maha Berkata-kata.
Pertama sekali hendaklah diketahui bahawa Kaunuhu Basiran ini juga seperti sifat Kaunuhu Qadiran, Kanuhu Muridan, Kaunuhu Aliman, Kaunuhu Hayyan, Kaunuhu Sami’an dan Kaunuhu Basiran, adalah sifat yang melazimi sifat Kalam. Dengan bahawa lain boleh disebut ia adalah kesinambungan sifat Kalam itu.
Namun Kaunuhu Mutakalliman ialah sifat tanda ALLah Taala itu Berkata-kata. Ertinya apabila ALLah telah menurunkan FirmanNya kepada sekelian RasulNya, maka jelaslah ALLah Taala itu bersifat Kalam.
Dalam maksud yang lebih mendalam, apabila ALLah Taala telah menjadikan makhluk, Dia menentukan segala peraturan untuk makhluk yang diciptaNya. Peraturan itu diturunkan sebagai Firman. Firman ialah perkataan ALLah Taala yang diwahyukan kepada Rasul-RasulNya dalam bahasa manusia. Apabila ALLah Taala telah berKalam, maka itu menunjukkan ALLah Taala bersifat berkeadaan Yang Berkata-kata.
Dan takluk sifat Kalam ini kepada yang wajib, yang mustahil dan juga kepada yang harus. Adapun takluk kepada yang wajib itu seperti Firman ALLah Taala bermaksud “Akulah ALLah, tiada Tuhan melainkan aku”. Ertinya ALLah Taala berkata bahawa Dialah Tuhan yang tiada sekutu bagiNya. Dan takluk kepada yang mustahil itu pula seperti FirmanNya bermaksud “Telah berkata Yahudi: ALLah Taala itu fakir (miskin) dan kami yang kaya”. Ertinya ALLah Taala menghikayatkan perkataan orang Yahudi. Dan takluk kepada yang harus pula seperti FirmanNya bermaksud “Dan ALLah menjadikan kamu dan segala apa yang kamu lakukan” ertinya ALLah menyatakan bahawa segala yang harus dari alam adalah ciptaanNya jua.
Dalil akli dan naqli sifat Kaunuhu Mutakalliman ini sama dengan dalil Kalam iaitu Firman ALLah Taala bermaksud “Telah berkata-kata ALLah Taala dengan Musa dengan perkataan yang sempurna”. Dan jika ALLah tidak Berkeadaan Yang Berkata-kata, maka bisulah Dia dan tidak layak diangkat sebagai Tuhan, iaitu mustahil yang bisu adalah Tuhan.
Untuk lebih mengingati, rujuklah semula kepada sifat Kalam dahulu.
Wassalam


